Skip to main content

17 Tahun Dirimu Tiada Pengganti

Kehilangan Insan Tersayang 17 Tahun Dahulu

Kehilangan insan tersayang. Insan tersayang biasanya mempunyai banyak makna. Boleh jadi ibu, bapa, isteri, anak, kekasih, rakan, teman ataupun seorang yang dihormati dan begitu bermakna didalam hidup kita. Kehilangan insan tersayang ini memang perit. Mengambil masa yang lama untuk dilupakan. Terpisah jarak sekali pun sudah rasa rindu dan sukar untuk melupakan kenangan bersama apatah lagi terpisah alam. Tetapi disebalik kesedihan jangan kita lupa semuanya sudahpun tertulis sebaiknya.

"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati"

Gambar sekadar hiasan. aRz dan Cik Puteri ketika menunggu bot ke Pulau Aman

21 OGOS 2015. JUMAAT. Terasa lain hari ini tatkala facebook menghantarkan peringatan hari kelahiran anak sedara yang kedua. Hari jadi Faiz kebetulan hari ini Jumaat 21 Ogos 2015. 17 tahun lepas Faiz baru berusia setahun. Setiap kali hari lahir Faiz seakan ada sesuatu merobek isi-isi jantung mengenangkan rindu pada insan yang bernama Abah. Sebenarnya sudah lama ingin berkongsi kisah ini. Mudah-mudahan menjadi perkongsian yang baik buat mereka yang masih mempunyai ibubapa untuk berbakti sehabis baik sebelum mereka dijemput Illahi.

Pernah sebelum ini nak siapkan entri ini tetapi terhenti. Tak mampu teruskan. Cuma hari ini ada kesempatan untuk mengarang walaupun ketika menaip air mata tidak henti bergenang. Sudah 17 tahun berlalu rasa seakan semalam. Maaflah jika entri ini terlalu emosi.

Kelmarin Yang Berbeza

Kelmarin yang berbeza. 20 Ogos 1998. Tarikh yang tak mungkin akan dilupakan.

Dari awal pagi ketika kakak ketiga nak ke sekolah. Biasanya menaiki bas sekolah yang kebiasaannya mengambil anak kampung di daerah ini. Tetapi hari ini berbeza dan istimewa. Hujan renyai. Abah hantar kakak ke sekolah. Sebelum sampai ke sekolah, Abah bawa anak keempatnya ini sarapan dulu kebetulan Abah masih lagi cuti setelah seminggu cuti sebab sakit dalam perut. Abah cuma minum kopi.

"aku makan roti bakar tapi tak lalu, aku suh Abah bungkus" kata kakak ketiga tetapi merupakan anak yang keempat dalam keluarga.

"aku makan roti bakar tapi tak lalu, aku suh Abah bungkus"

Kelmarin yang berbeza. Disebabkan sekolah sesi petang jadi boleh bangun lewat sikit. Biasanya waktu ini mak dah berleter dari tingkat bawah. Memandangkan rumah dua tingkat biasanya mak naik atas dan kejutkan. Takut ada keja sekolah yang tak siap lagi. Mak tahu anak mak yang bongsu ini macam-macam. Tapi hari ini berbeza. Mak sibuk uruskan abah. 

Sejak balik dari hantar kakak pagi tadi kaki Abah kebas. Mak letak air suam dalam bekas dan rendamkan kaki Abah. Tapi Abah minta lebih panas sebab Abah tak rasa apa-apa.

"Hari ni Abah hantar ke sekolah" kata Abah.

Aku angguk sambil lihat abah menyuapkan bengkang gula putih pada cucu keduanya Faiz. Sayang pada cucu-cucu tak pernah hilang.

Selepas semua siap Abah. Abah hantar dengan kereta. Mak ikut sekali bersama dua cucunya. Kalau ikutkan perancangan selepas hantar aku ke sekolah, Abah nak bawa kakak hantar borang di MRSM. Sampai di hujung selekoh terakhir sebelum sampai ke sekolah Abah tidak belok. Abah terus.

"kaki Abah tak rasa apa" kata Abah.

"kaki Abah tak rasa apa"

Kaki kanannya tadi rasa kebas dan tidak dapat menekan brek. Abah cuba bertahan dan sampai ke sekolah. Disebabkan kaki Abah kebas, aku agak terlewat masuk ke sekolah sebab Abah memandu perlahan risau tak dapat menekan brek sekali lagi. Abah keluarkan kaki dan letak atas jalan tar yang panas agar kebas kakinya kembali pulih. Pengawas yang menunggu depan pintu pagar tidak mengambil tindakan sebabnya melihat keadaan Abah dan aku pula ketika itu juga adalah pengawas. Kalau bukan sebab Abah mungkin aku tolak untuk jadi pengawas.

Aku terus masuk ke sekolah tanpa sebarang rasa syak terhadap keadaan Abah, sedang Abah menyuruh masuk cepat. Aku akur. Jarang aku melawan kata-kata Abah, seorang yang tegas dan penyayang. Sampai waktu solat Asar aku lihat kereta Abah ada dalam kawasan sekolah. Tapi masih belum timbul sebarang syak. Sehinggalah waktu balik masih ada kereta Abah. Tak terlintas pula dalam fikiran aku masa tu nak ke kereta Abah. Walaupun Abah tak ada di dalam kereta

Sampai saja dirumah, rumah gelap. Aku mula rasa pelik. Kereta disekolah tetapi dirumah tiada orang. Aku tunggu saja didepan rumah. Aku tak sedar ada nota di celah pintu. Sampailah kakak sulung balik ke rumah.

"Abah kat hospital" aku terdiam kenapa tak seorang pun jemput aku di sekolah? Kenapa aku orang paling terakhir tahu?

Aku malas nak bertanya terus mandi dan bersiap nak tengok Abah di Hospital.

Sampai di hospital aku tengok aku orang kedua terakhir sampai. Mak, kakak kedua dan ketiga serta cucu-cucu Abah ada di sekeliling katil. Cuma Abang aku tak ada.

"Ati....macam SENARIO kan?" kata Abah pada cucu pertamanya yang suka tengok rancangan SENARIO popular masa tu. Ada scene di dalam wad.

"Cuba angkat kaki Abah berat tak?" kata Abah pada aku. Aku cakap berat. Aku seakan tak faham Abah sakit apa. Aku terus bergerak ke tepi telinga Abah duduk disisi katilnya. Aku anak bongsu sememangnya manja dengan Abah dan Mak tetapi kadangkala kakak ketiga lebih manja dari aku. Aku diam dan merenung wajah Abah.

"Ingat tau esok" pesan Abah pada kakak sulung. Yang ketika itu fikir esok harijadi Faiz.

"Ingat tau esok"

"Satgi Abah akan ke Hospital Besar, Affizah, Affini duduk rumah" kata Abah sebelum kami balik dan pesan agar kakak ketiga duduk dirumah sebab dia bakal menduduki percubaan PMR. Abah suruh aku ikut sambil pesan pada kakak sulung.

"Jangan bagitau Azrul lagi, dia nak periksa" pesan Abah risau anak ketiganya merupakan abang aku yang bakal menduduki SPM. Dia tidak ada waktu kami di hospital, sebab tinggal di asrama Penang Free School.

Tak ada seorang pun melawan kata-kata Abah. Kami balik ikut apa yang Abah pesan. Sementara kakak sulung bersiap nak ikut Abah ke Hospital Besar. Aku baring sekejap di ruang tamu, balik dari sekolah rasa penat. Tapi....aku terlelap. Sampai ke hari ni aku menyesal sebab terlelap.

Kelmarin yang berbeza. Abah pesan pada mak.

"Esok nak balik rumah, cuti dah habis" 

Itu kata-kata Abah yang mak ingat masa di hospital.

Perginya Seorang Abah

21 Ogos 1998. Tangisan cucu-cucu Abah, buatkan aku terjaga. Bila tengok sekeliling kakak sulung dah tinggalkan aku. Rasa macam nak marah tapi aku diam dan kembali lelapkan mata. Tak sampai beberapa minit telefon rumah berbunyi, waktu ini aku mula syak sesuatu. Kakak kedua angkat telefon tiba-tiba menangis. Aku terus pejamkan mata. Aku doa mudah-mudahan tiada apa-apa. 

Kakak kedua datang kejutkan aku yang pura-pura tidur. "Abah dah tak ada". Aku bangun terus masuk ke bilik, jam ketika itu 12 lebih tengah malam. Aku terus ambil wudhuk dan solat Isyak. 

Terngiang-ngiang di telinga kata-kata Ustaz Azmi

"Jangan meraung kalau ibu bapa kita meninggal, redha nanti siksa Abah Mak kita".

Aku doakan Abah. Menunggu kakak sulung kembali ambil kami untuk melihat abah.

Bila kakak sulung sampai aku terkejut, Abang yang merupakan anak ketiga ada bersama. Merah matanya. Dia masuk bilik tak berkata apa. Terdiam. Mana tidaknya dua minggu lepas adalah kali terakhir jumpa Abah. Abah hantar di stesen bas (seperti didalam gambar, kini stesen bas ini tiada lagi. hanya tinggal kenangan) Beberapa minggu sebelum tu kalau tak silap. Abah ada jemput abang di asrama ajak makan di ikan bakar Teluk Tempoyak. Tapi abang tolak. Sebab sebelum ini dah makan. Mungkin ini buatkan dia lebih sebak ketika ini.

"Kebiasaan Abah hantar terus balik. Tetapi kali ini Abah tunggu dan tengok sampai bas jalan" kata abang.

kredit pada pemilik gambar

Aku yang ada dirumah setiap masa pun terasa apatah lagi yang tak tengok abah seminggu. Seringkali juga dia katakan kenapa tak bagitau dia perkara ni? Mungkin awal tadi aku dah terangkan sebabnya atas permintaan Abah juga.

Entah kenapa air mata aku macam berat nak mengalir. Aku seakan masih tak faham apa yang berlaku. Sepanjang perjalanan untuk pergi bertemu jenazah Abah yang berada di surau jauh dari rumahku tetapi berdekatan Hospital Besar. Abah ditempatkan di surau tu untuk memudahkan bagi adik beradik dan kenalan Abah untuk datang menziarahi jenazah abah buat kali terakhir.

Masa ini bermacam-macam bermain difikiran.

Yang pertama difikiran aku Abah sakit apa sebenarnya???

Abah adalah orang pertama seakan teruja bila aku bagitau aku jadi pengawas. Malam aku bagitau tengahari esoknya Abah dah belikan baju pengawas sepasang. Mungkin Abah nak anaknya memikul tanggungjawab, berdikari sebab di satu masa anaknya ini perlu berdikari. Berdikari macam abang aku tingkatan satu dah tinggal di Asrama Penuh.

Abah orang yang beri sokongan bila aku nak belajar silat. 3 jenis seni silat aku belajar tapi satu pun tak habis. Silat kampung, silat gayung, dan silat Siku-B bawah anjuran belia 4B ( aku join disebabkan nak ke Negeri Sembilan) masa tu. Mungkin dengan silat aku akan lebih berani. Berani hadapi kesusahan kesulitan ketika dia tidak ada nanti.

Aku lihat hari ini tubuh Abah kaku. Wajah Abah aku tatap lama-lama aku takut aku akan rindu nanti. Aku lihat kakak aku cium dahinya dan berulang kali menangis. Aku pun tak faham kenapa air mata ini terlalu berat. Sehinggalah Abah dikafankan. Akhirnya gugur airmata aku buat kali terakhir.

Kuburan Menjadi Putih

Kuburan menjadi putih. Hari ini hari jumaat hujan turun renyai-renyai. Semua pelajar asrama sekolah Abang wajib memakai baju melayu putih dan bersampin. Hampir semua turun menziarahi kubur Abah buat kali terakhir. Penuh dengan baju putih mereka.

Ini kali terakhir melihat wajah Abah buat selamanya. 

13 tahun sahaja Allah pinjamkan Abah buatku, segala pesannya, didikannya, keperibadiannya akan aku ingat untuk meneruskan kehidupan. Kehilangan ketua keluarga sesuatu yang sukar buat aku, mak dan adik beradik yang lain.

"Abah pergi terlalu cepat"

"sebelum Abah hembus nafas terakhir Abah masih boleh bercakap dengan doktor dalam english lagi" kata kakak sulung cerita kembali babak yang aku terlepas disebabkan aku tertidur. Mata Abah memandang sayu wajah kakak dan emak mula sebak. Perlahan-lahan Abah menghembuskan nafasnya.

"Ya Allah, Ampunilah kedua ibubapaku, kasihanilah mereka sepertimana mereka mengasihani aku diwaktu kecil dahulu"

Adakalanya bila melihat anak-anak yang masih dipinjamkan ibubapa mereka tetapi tidak menghargai dengan baik membuatkan aku merasa sangat sedih. Lagi sedih jika ada yang menjerkah ibubapa mereka. Mungkin kerana mereka tidak mengenal erti perpisahan sebenar. Hargailah kedua ibubapa selagi mereka masih ada. Satu tiada gantinya. Selepas pemergian kedua insan istimewa ini tak mungkin boleh dicari ganti. Tangan yang membesarkan kamu, memujuk kamu, mendidik kamu dan sentiasa menemani kamu. 

Al-Fatihah Buat Abah.
21 Ogos 2015
Jumaat.

Comments

  1. al fatihah....baca entry awak tiba2 je teringatkan arwah ayah akak...rindukan setiap detik bersama arwah...

    ReplyDelete
  2. al fatihah..semoga bersama orang beriman..

    ReplyDelete
  3. Al Fatihah , he is missing you n the rest too.. He is with u guys always

    ReplyDelete
  4. Al-Fatihah.. Teringat arwah bapak bila baca entry ni.. Huhuhu..

    ReplyDelete
  5. sebak, bergenang dah ayaq mata.. al-fatihah buat arwah..

    ReplyDelete
  6. Al Fatihah buat arwah, semoga di tempatkan disisi hamba-hambaNya yang beriman,Amin Ya Rabb .

    ReplyDelete
  7. Al fatihah...alhamdulillah akak masih ada abah...akak nangis tau baca entry ni Arz....

    ReplyDelete
  8. sedihnya..takutnya menanti hari itu..

    ReplyDelete
  9. Alfatihah.. semoga kembali berkumpul di syurga abadi

    ReplyDelete
  10. takziah untuk abg arz dan keluarga. semoga tabah menghadapi hari2 mendatang. ada masa memang kita rasa sedih sangat sampai x mampu nak buat apa. bila rindu tu datang. rasa macam nak menangis je satu hari. rasa macam kadang2 menyesal sebab x buat macam tu, sebab x berkelakuan macma ni. tp takdir dah jadi. kita hanya mampu mendoakan je

    ReplyDelete
  11. Al-fatihah untuk arwah..semoga ditempatkan di kalangan orang2 yang beriman..Aamiin!

    ReplyDelete
  12. Al Fatihah..semoga arwah tenang di sana..

    ReplyDelete
  13. Tahan sebak membacanya.
    Moga kita diberi hidayah oleh Allah agar sentiasa menyayangi dan berbakti kepada ibubapa kita yang masih ada.

    ReplyDelete
  14. Takziah.... Sadehnyer.. Semoga arwah abah tergolong di kalangan org yg trpilih di sisi allah..

    ReplyDelete
  15. Allah,,.. sedih pulak baca entry ni... betoi tu, hargailah parent semasa mereka ada ni... nanti dh takda, mulalah kita rindu masakan, pelkukan, bebnelan , nasihat n lain2 lain berkaitan mereka

    ReplyDelete
  16. al fatihah..
    semoga arwah tenang disana..ditempatkan bersama mereka yg disayangiNYA...

    ReplyDelete
  17. Alfatihah... semoga arwah tenang dan aman di sana...Aamiin

    ReplyDelete
  18. semoga ditempatkan bersama org2 yg beriman..amin

    ReplyDelete
  19. terima kasih buat semua yang mendoakan dan sedekah al-fatihah. Semoga perkongsian ini memberi manfaat untuk semua. Insyaallah

    ReplyDelete
  20. Al-Fatihah..

    nostalgia nya bus station balik pulau tu..

    ReplyDelete
  21. Sebak sbb kehilangan arwah ayah gak...

    tgerak ati nk blk kmpg dr KL.smpai rumah tgk ayah sakit xleh jln tp mak ayah xnk gtau sbb ada exam next week tu.arwah suruh buat surat utk wakilkn dia ambik brg2 kemas kt pajak gadai.esok tu arwah ke klinik trus refer spital.ptg tu akak blk KL sbb esoknya ada kelas akhir sblm exam.lusa arwah ayah meninggal.

    Sedih teramat sgt.meraung2 xleh nk control sbb sorang2 ja yg xda wktu arwah menghembuskn nafas terakhir.anak cucu yg lain smua ada wktu tu.bl baca entri ni terimbau kembali saat blk dr KL naik bas.terasa lmbtnya bas bgerak....huhuhuhu

    ReplyDelete
  22. Sebak.
    Hanya kita yg dah kehilangan insan tetsayang tahu bgmans rasa kehilangan itu...

    ReplyDelete
  23. Setiap daripada kita pasti akan kehilangan seseorang yang kita sayangi, gunakan masa yang masih ada untuk bersama dengan mereka ketika mereka masih bernafas.

    ReplyDelete
  24. Alfatihah..,, sedih ... Cerita yg menyayat hati.

    ReplyDelete
  25. Al-Fatihah.. Semoga arwah ayah awak bersama dengan orang-orang yang beriman dan bertakwa... Terima kasih kerana berkongsi cerita...

    ReplyDelete
  26. Alfatihah!

    Sebak akak membacanya. Akak pun kehilangan abah pada tahun yang sama, 6 Oktober 1998. Sehingga 6 tahun selepas itu akak masih mengadu nasib, menangis setiap malam mengenangkan ketiadaan abah. Akak pun anak perempuan bongsu, memang rapat dengan abah. Tak terbanding rasanya kasih sayang abah terhadap anak-anaknya. Rindunya pada arwah semakin hari semakin dalam, bukannya semakin berkurangan. Setiap kali teringat, air mata pasti mengalir.

    Bila baca kisah ni, akak teringat kembali kepada arwah abah. Semoga arwah abah kita tenang di sana.

    ReplyDelete
  27. al fatihah..:(..sebak saya baca entry ni

    ReplyDelete

Post a Comment

Tinggalkan Komen dan Pendapat serta kritikan anda. Terima Kasih

Popular posts from this blog

3 Pertanyaan Abdullah Bin Salam Kepada Nabi Muhammad SAW

3 Pertanyaan atau Soalan Kepada Nabi Muhammad SAW (Kisah Sahabat Nabi) Abdullah bin Salam atau nama sebenarnya adalah Hushain bin Salam. 3 Pertanyaan atau soalan  Abdullah bin Salam kepada nabi Muhamamd SAW ini menjadi minat saya untuk berkongsi kerana terdapat info yang menarik dari segi sains iaitu pada soalan yang ke-3. Sebelum itu mari kita kenal siapa Abdullah bin Salam dan asal pertanyaan soalan kepada nabi Muhammad SAW 3 Perkara yang di tanya Abdullah bin Salam Abdullah bin Salam berketurunan dari Nabi Yusuf bin Yaakob ( nabi yaakob) iaitu berketurunan yahudi (bani israil). Beliau yang merupakan ulama yahudi sentiasa menjadi rujukan orang yahudi. Kelebihannya dalam memahami kitab taurat diiktiraf oleh semua.  Kisahnya dalam dia mengkaji kitab taurat mengenai Nabi Akhir Zaman tentang Muhammad tentang Ahmad. Beliau membaca berkali-kali. Ini kerana beliau seorang rahib yahudi yang jujur yang mencari kebenaran yang dikatakan dalam kitab taurat.  "s...

BASIKAL KANAK -KANAK 3 IN 1 PERLBAGAI GUNA

BASIKAL KANAK-KANAK PELBAGAI GUNA 3 IN 1  Basikal kanak-kanak pelbagai guna yang saya maksudkan adalah basikal yang boleh ditukarkan kepada 3 jenis basikal iaitu Basikal (bicycle), Basikal 3 roda (tricycle) dan basikal tolak (push bike). Basikal ini pula kebetulan kami tercari-cari untuk anak kedua saya. Anak kedua ni saya jarang kongsi di blog. Sebabnya selepas kelahiran dia saya agak sibuk sampai agak kurang berblog lagi. Basikal kanak-kanak pelbagai guna 3 in 1 Balik pada cerita basikal kanak-kanak 3 in 1 ini saya sekadar kongsi mungkin ada ibubapa luar sana mencari-cari basikal yang sesuai untuk anak-anak. Masa mencari dalam kedai online macam-macam pilihan antaranya basikal kanak-kanak biasa, basikal tayar tiga dan juga push bike.  Sampaikan saya terjumpa basikal ini yang lengkap ketiga-tiga sekali. Harga pun agak murah kalau nak dibandingkan kita akan upgrade ke basikal lain. HARGA BASIKAL 3 IN 1 Harga basikal ini tidaklah mahal lebih kurang masa saya beli di bawah RM 5...

Lirik Lagu Di Amaran Mama Nyanyian Hazama

Lirik Lagu Di Amaran Mama Nyanyian Hazama Sebenarnya Lirik lagu Di Amaran Mama Nyanyian Hazama dikongsikan kerana aRz sendiri pun suka mendengar hampir kesemua lagu-lagu Hazama. Kemudian lagu ini pula dijadikan OST Drama Assalamualaikum Cinta yang sedang ditayangkan di Astro Ria waktu tayangan pada Hari Isnin hingga Khamis jam 10 malam. Bagus juga waktu tayangan dia selepas terawih. Antara Sinopsis Drama ini agak lucu juga lah sebabnya mempertaruhkan semangkuk Cendol  bila mana salah seorang berjaya menerima perkataan "i love u" dari gadis kenalan mereka. Setakat tu saja yang aRz boleh cerita. Kalau nak tahu betul ka tidak kena tengok sendiri k. Jom tengok lirik lagu Di Amaran Mama Nyanyian Hazama Di Amaran Mama Hazama Mamaku ada kata pada satu ketika awas datangnya seseorang Dia ada sakti Bikin duniamu Senang senang saja bergoncang Mamaku kata lagi Awasi orang ini Dia kan jadi segalanya Membuat kau ketawa Juga akan berduka Dan dalam...